KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah kekal pendirian untuk menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari pantai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pendirian kerajaan Sabah itu pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching, hari ini, Hajiji, berkata akta itu menghalang keupayaan Sabah untuk mengenakan undang-undangnya sendiri ke atas perkara yang melangkaui tiga batu nautika di laut.
Katanya, ini akan menghalang keupayaan negeri dalam isu berkaitan cukai jualan negeri Sabah terutamanya melibatkan produk petroleum dan kuasa pihak berkuasa Sabah dalam isu imigresen.
“Sabah berpendapat bahawa sempadan lautnya hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Perubahan Sempadan) dalam Majlis 1954,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa semua isu tertunggak dalam MA63 telah melepasi proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan.
“Satu-satunya isu adalah mengenai teknikal dan kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua tuntutan kami diselesaikan sepenuhnya.
“Kerajaan Sabah mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan tuntutan MA63 secara baik tidak lama lagi.
“”Ini adalah faedah bersama kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha membawa kemajuan dan kemakmuran di seluruh negara untuk rakyat,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan Sabah juga mengalu-alukan pengiktirafan Perdana Mdenteri bahawa Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu seperti dinyatakan dalam MA63.