SANDAKAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus mempergiatkan penyelidikan untuk membantu memperkasakan sektor pertanian di negara ini khususnya di Sabah.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penyelidikan itu melibatkan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dengan kerjasama fakulti-fakulti dan institut lain di UMS.
“Alhamdulilah kita juga menerima banyak sokongan daripada kerajaan pusat dan kerajaan Sabah termasuk juga sektor-sektor swasta yang berkaitan dengan pertanian.
“Kolaborasi FPL dengan industri khususnya petani berskala besar, kecil dan sederhana di negara ini akan diperhebatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan rasmi beliau di kampus FPL UMS, pada Khamis.
Menurut Dr Kasim, beliau juga mahu FPL menjadi sumber rujukan kepada pihak industri.
“Saya telah memaklumkan pihak fakulti untuk mengadakan pertemuan atau sesi dialog meja bulat bersama industri.
“Kita akan mengenalpasti apa bidang atau kursus-kursus yang mereka ingin ceburi.
“Kemudian kita juga boleh mengambil inisiatif menawarkan kursus-kursus mengikut keperluan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, UMS kini juga mempelopori usaha untuk melahirkan masyarakat yang berinovasi dengan slogan ‘Leading towards Innovative Societies’.
“Bagi merealisasikan agenda inovasi ini, kerjasama pintar dengan agensi kerajaan dan swasta serta agensi-agensi lain giat dilaksanakan bagi mewujudkan makmal hidup di luar kampus.
“Makmal-makmal ini akan menjadi medan pemindahan ilmu antara universiti dan industri dan seterusnya manfaat dinikmati oleh masyarakat.
“Makmal-makmal ini akan digunakan para pelajar dan pensyarah. Sebagai contoh, para pelajar bukan hanya mendalami ilmu kepakaran mereka dalam hal penanaman pokok, pertanian dan sebagainya tetapi pihak industri juga dapat menawarkan fasiliti kepada pelajar,” ujar Dr Kasim.
Katanya, ada banyak makmal hidup akan dibuat di luar kampus seperti universiti-universiti di luar negara.
“Memandangkan UMS satu-satunya kampus Universiti Awam di Pantai Timur Sabah, kita mempunyai kelebihan untuk memastikan keterlihatan dan peranan FPL dapat benar-benar dirasakan oleh masyarakat khususnya yang berkaitan dengan pertanian,” tambahnya lagi.
Pada kunjungan itu, Dr Kasim turut melancarkan Tapak Kekal Pengeluaran Makanan.