KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di sini semalam.
Katanya, GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan Kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya.
“Ini khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk tahun 2023.
“GRS mengambil keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata, GRS bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN dan parti dari Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti lain yang bersedia untuk membentuk kerjasama.
“GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air,” katanya.