KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepakat untuk bekerjasama sebagai Blok Borneo.
Kedua-dua negeri ini menyokong sebuah kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan yang mampu memberikan kestabilan politik dan manfaat bersama.
Ini selepas kedua-dua GRS-BN dan GPS muncul sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri masing-masing. GRS-BN memenangi 13 daripada 25 kerusi parlimen di Sabah, manakala GPS memenangi 22 daripada 38 kerusi parlimen di Sarawak.
Berikutan kemenangan mereka, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengadakan perbincangan awal pagi tadi dan mencapai kata sepakat berhubung perkara tersebut.
“Abang Johari menelefon saya sebentar tadi dan kita berbincang dan sepakat bahawa kita mahu bekerjasama sebagai Blok Borneo untuk menyokong kerajaan dibentuk di peringkat Persekutuan yang boleh memberikan kestabilan politik dan manfaat bukan sahaja kepada negara tetapi juga untuk Sabah dan Sarawak.
“Kami mahukan Kerajaan Persekutuan yang stabil dan begitu juga di peringkat Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media awal pagi ini.
Ditanya Blok Borneo akan bekerjasama dengan gabungan mana di peringkat Persekutuan, Hajiji berkata, Sabah dan Sarawak akan membincangkannya tetapi mereka akan lebih menjurus kepada kerajaan Persekutuan yang boleh memberi kestabilan.
“Kami tidak boleh menyatakannya sekarang kerana kami masih belum mengetahui keputusan rasmi (PRU15),” katanya.
“Sudah tentu, apa yang saya maksudkan dengan kestabilan ialah kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan boleh memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak. Apa yang kita maksudkan dengan kestabilan ialah apa yang baik untuk Sabah dan Sarawak…akhirnya kita terpaksa menerima hakikat bahawa bagi kita di Sabah, ianya adalah sentiasa Sabah First (Sabah didahulukan).
“Pertimbangan utama sentiasa untuk memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan Sarawak, dan mana-mana pihak di peringkat Persekutuan yang boleh menawarkan ini kepada kami, kami perlu mempertimbangkan dengan serius,” katanya ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan kestabilan.