KOTA KINABALU: Ketidakstabilan politik di Sabah berpunca wakil rakyat Bersatu diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sendiri keluar dari Bersatu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai legitimasi atau keabsahan sebagai Ketua Menteri.
Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ini berpunca dari tindakan ahli-ahli Bersatu Sabah itu sendiri, tetapi mengapa pula Warisan yang dipersalahkan?
Menurutnya, selepas Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) pada September 2020, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan sering dipancing untuk keluar parti sehingga beberapa wakil rakyat Warisan bertindak meninggalkan parti.
“Antaranya ADUN Sebatik, Sindumin, Segama, Melalap, Limbahau serta Kukusan.
“Usaha untuk menarik wakil rakyat Warisan didalangi oleh siapa? Bukan kita tidak tahu pemimpin mereka yang sering berusaha untuk menghubungi dan memujuk wakil rakyat Warisan malah sehingga ke hari ini.
“Saudara Ceasar Mandela Malakun patut cermin diri dulu kerana refleksinya akan memantul kepada diri mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azis berkata, Mandela mengatakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai hipokrit tetapi hakikat sebenarnya yang hipokrit itu adalah kalangan pemimpin mereka sendiri?
“Sabah memang terkenal kerana ramai pemimpin seumpama Mandela sendiri yang seolah-olah mempunyai daya ingatan yang pendek.
“Sebelum PRU-14, mereka mengelar Shafie sebagai kuda tunggangan Mahathir tetapi selepas PH Plus memerintah Sabah dan Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, mereka juga yang membawa Parti Tun Dr Mahathir, iaitu Bersatu masuk ke Sabah,” katanya.
Adakah Ceasar Mandela lupa majlis pelancaran Bersatu di Sabah dilakukan di bangunan milik keluarganya sendiri?.
Mohd Shafie berkata,tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuat pusingan-U mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu.
“Ini jelas menunjukkan GRS melahirkan pemimpin yang tidak berpegang teguh kepada pendirian dan sentiasa bertukar kedudukan mengikut keadaan politik semasa demi kepentingan sendiri.
“Jika GRS benar-benar sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mereka haruslah menunjukkan contoh mengekalkan pendirian serta prinsip mereka dan bukannya menjadi pemimpin lidah bercabang dengan sering bertukar fikiran,” katanya.
Mohd Azis berharap agar ini merupakan lompatan mereka yang terakhir serta memberi sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat kekal.
“Saya ingin mengingatkan saudara Mandela agar jangan bersifat munafik serta melontar batu sembunyi tangan.
“Penyebab pihak yang mengakibatkan pergolakan politik di Sabah dan menjadikan Sabah terkenal sebagai negeri pengeluar pemimpin katak adalah pemimpin yang hari ini tidak diketahui mereka berada di dalam parti apa sekalipun,”katanya.