KOTA KINABALU : Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku dan tetap berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau
menyokong penuh pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerajaan negeri tidak akan mencampuri sebarang siasatan.
Katanya, ini membabitkan pendakwaan yang sedang berjalan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin dan Tanjung Batu.
“Prinsip ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, bertanggungjawab hormat terhadap undang-undang.
“Ini bukan berdasarkan sentimen, tekanan politik, mahupun kepentingan individu itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Nizam merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, isu itu adalah bersifat peribadi dan sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang untuk berjalan secara telus dan adil.
“Seperti ditegaskan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri akan meneliti kedudukan kedua-dua ADUN tersebut setelah semua maklumat dan laporan lengkap diterima.
“Kita bukannya membuat keputusan secara terburu-buru mengikut desakan politik,” jelas Nizam.
Menurutnya, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasi isu ini untuk melemahkan Kerajaan Negeri yang sah dan stabil.
“Kerajaan GRS tidak pernah menutup kesalahan, jauh sekali melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku.
“Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan kes ini sebagai alat untuk menggugat kestabilan kerajaan yang sedang bekerja keras untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak harus membenarkan mahkamah menentukan benar atau salah dan menghormati hak individu untuk membela diri.
“Kita berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang. Kita wajib berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GRS akan terus berfungsi seperti biasa dan tidak akan goyah dengan sebarang cubaan menggugat kestabilan yang telah dibina.
“Fokus kami tetap pada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi.