GRS penyelesaian terbaik, elak berpecah belah – Hajiji

KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan platform terbaik agar semua parti dapat digabungkan sekali gus mampu membawa pembangunan kepada rakyat di negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tidak ada cara lain melainkan semua bersatu di bawah satu parti iaitu GRS.

Iklan murah di Sabahnewstoday.

“Kita tidak mempunyai alternatif lain selain berbuat demikian kerana kita telah lama berpecah belah,” katanya pada Program GRS Jelajah – Parlimen Kudat di Dataran Tomborungus, di sini hari ini.

“Tidak kira betapa berpengalaman atau hebatnya kita tidak akan dapat melindungi hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia jika tidak bersatu,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kerajaan negeri ketika ini adalah merupakan kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional (BN) akan terus kukuh.

“Saya yakin Barisan Nasional Sabah mempunyai pendirian tersendiri dalam memastikan hak Sabah dilindungi. Tidak perlu dipengaruhi landskap politik di seberang,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri berjaya mendapatkan banyak hak negeri khususnya dengan  penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang dijangka diwujdukan paling lewat pada tahun depan.

“Pendirian GRS mengenai MA63 adalah konsisten. Kita akan terus berjuang untuk apa yang menjadi milik kita,” katanya.