RANAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah meminggirkan rakyat, termasuk di kawasan luar bandar seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, tegas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menegaskan bahawa semua projek pembangunan yang dirancang akan diteruskan seperti biasa.
“Ini termasuk cadangan pembinaan sebuah dewan mini serbaguna di Kampung Tumbalang.
“Kita tidak tunggu pilihan raya untuk bantu rakyat. Apa yang telah dirancang akan tetap dilaksanakan selepas PRN nanti,” katanya di sini semalam.
Dr. Joachim berkata beliau turut memberikan penerangan mengenai Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang kini sedang giat dilaksanakan di seluruh daerah Ranau.
Menurut beliau, program PANTAS merupakan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah dalam kalangan masyarakat Anak Negeri Sabah secara sistematik dan sah di sisi undang-undang.
“Permohonan PANTAS perlu disertakan bukti tanah telah atau pernah diusahakan.
“Selain perlu mendapat sokongan daripada Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK serta mempunyai jawatankuasa bertindak,” jelasnya.
Beliau turut menyeru penduduk kampung agar mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan melalui saluran yang betul agar hak milik tanah mereka dapat diiktiraf secara sah.
Program ini, tambahnya, adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk terus membela hak dan kebajikan rakyat Sabah, khususnya di kawasan pedalaman.
