SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor disifatkan sebagai pemimpin yang sentiasa mengutamakan penyatuan rakyat berbanding agenda politik kepartian.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan) Sungai Sibuga, Henry Hamdan berkata, perkara itu terbukti apabila Hajiji berjaya membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri lalu, sekali gus mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Ketua Menteri membuat agihan jawatan menteri dan pembantu menteri dengan seimbang serta saksama kerana beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat.
“Justeru, Hajiji wajar dipertahankan dan dikekalkan sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh Hajiji meliputi sektor pendidikan sehingga ke program pembangunan akar umbi yang kesemuanya memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam masa sama, Henry membidas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang mendesak Hajiji meletakkan jawatan.
“Adalah tidak wajar seorang pemimpin memainkan agenda ‘undur’ demi menyembunyikan kepincangan parti sendiri.
Tambahan pula, Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sendiri sedang berdepan kes rasuah di mahkamah,” tegasnya.
Henry turut menyifatkan tindakan mendesak Hajiji berundur sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada rakan gabungan GRS, yang pernah dibuktikan melalui episod ‘Langkah Kinabalu’.
“Sekali lagi saya tegaskan, pendirian Ketua Menteri adalah tepat ketika ini demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
