KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berjanji akan menaik taraf pekan Taginambur di Kadamaian sebagai daerah kecil jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bakal calon KDM DUN Kadamaian, Josely Taising berkata, lokasi Taginambur yang hanya 16 kilometer dari Kota Belud serta kepesatan sektor eko-pelancongan menjadikannya sesuai dijadikan pusat pentadbiran.
“Jika Tuaran ada dua daerah kecil iaitu Tamparuli dan Kiulu, tiada sebab Kadamaian tidak boleh mendapat pengiktirafan sama,” katanya.
Menurutnya, status daerah kecil akan memudahkan urusan rasmi penduduk, mempercepatkan proses pentadbiran, menarik pelaburan baharu dan membuka peluang pekerjaan kepada belia.
“KDM komited memastikan Kadamaian bukan sahaja indah sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga maju, sejahtera dan mampan,” jelasnya.
