TAWAU : Gempa bumi kuat berukuran 6.3 magnitud menggegarkan kawasan Semenanjung Minahassa, Sulawesi sekali gus gegarannya turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah di sini pagi tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada jam 4:50 pagi tadi pada kedalaman 131 kilometer dengan koordinat 0.4° Utara dan 122.0° Timur, kira-kira 120 kilometer barat dari Gorontalo, Indonesia.
“Gegaran turut dirasai di kawasan sekitar daerah Tawau dan Lahad Datu, di negeri Sabah.
“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” kata MetMalaysia dalam kenyataan rasmi di sini hari ini.
Orang ramai yang merasai gegaran diminta untuk membantu pihak berkuasa dengan mengisi borang soal selidik menerusi pautan berikut:
👉 https://forms.gle/1J6zmY818Gkeh2yK8
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan dan mengeluarkan makluman sekiranya terdapat perubahan yang berkaitan.
“Untuk maklumat terkini, orang ramai digalakkan melayari portal rasmi mygempa.met.gov.my atau mengikuti saluran rasmi MET Malaysia di media sosial,” menurut kenyataan tersebut.
