KOTA BELUD : Sepasang suami isteri ditemui rentung selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sangkir, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Elge Bakuk berkata,kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 47 tahun ditemukan rentung di bilik mandi rumah tersebut.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi dan jentera bomba dari BBP Kota Belud bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba pada jam 3.04 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dan sebuah kenderaan yang telah terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman ini dijalankan dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba,” katanya di sini hari ini.
Elge berkata, rumah jenis kekal satu tingkat terbakar 100 peratus, manakala sebuah kereta jenis Proton Saga yang diletakkan berhampiran turut musnah sepenuhnya.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi manakala operasi ditamatkan sepenuhnya 4.55 pagi selepas memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
“Pihak Bomba menyerahkan mayat kedua-dua mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan punca kebakaran sedang dijalankan,” jelas Elge.
