KOTA KINABALU : Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Retreat serta Bengkel Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Pengurusan Fakulti Kejuruteraan bagi Tahun 2024 di Beringgis Beach Resort, Papar.
Dekannya, Prof. Madya Dr. Ismail Saad berkata, program ini antara lain bertujuan untuk merangka, merancang dan menetapkan strategi untuk merealisasikan Pelan Strategik Universiti Malaysia Sabah bagi tahun 2024.
“Selain itu, pelaksanaan program ini adalah untuk melihat dan menilai semula pencapaian setiap KRA yang telah ditetapkan oleh Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2023,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan penghayatan slogan fakulti yang diperkenalkannya iaitu ‘Bersatu Kita Teguh’ sebagai satu nilai bersama yang perlu diterapkan kepada semua kakitangan agar fakulti dapat memupuk kerjasama dan semangat kerja berpasukan tinggi bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Strategik UMS 2023 – 2027.
Sebagai tambahan kepada slogan sedia ada, beliau juga meminta agar penerapan nilai TEGUH iaitu singkatan daripada perkataan Teamwork, Excellence, Good Governance, Universe dan Harmony sebagai nilai teras yang perlu diterapkan dalam setiap perkara yang dilaksanakan di fakulti.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama semua ahli sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan retreat dan bengkel fakulti pada kali ini.
“Adalah diharapkan segala perancangan dan tanggungjawab yang diamanahkan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi mencapai kecemerlangan fakulti,” jelas Ismail.