TAWAU : Enam lelaki pendatang tanpa izin (PTI) warga China di hantar balik ke negara asal melalui proses pemindahan menggunakan pengangkutan udara di Lapangan Terbang Tawau secara terus ke Guangzhou, China, di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini hanya membabitkan seramai enam lelaki dewasa membabitkan tahanan warganegara China berumur antara 32 hingga 55 tahun.
Katanya, pemindahan semua PTI warga China dilaksanakan dari Depot Imigresen Tawau melalui Lapangan Terbang Tawau, menggunakan pengangkutan udara.
“Semua PTI terbabit telah selesai menjalani hukuman dan diperuntukkan untuk proses pemindahan ke negara asal selepas melengkapkan dokumen perjalanan mereka.
“Semua PTI yang dipindahkan ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, berdasarkan penghantaran kali ini, seramai 42 tahanan warganegara China sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 8,157 warganegara asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.
“Semua tahanan PTI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” jelas SH Sitti Saleha.