KOTA KINABALU : Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan penganugerahan projek solar berskala besar kepada 15 pembida membabitkan jumlah kapasiti 199MW di bawah proses pembidaan LSS Sabah 2024 dikendalikan Energy Commission of Sabah (ECoS).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, lapan daripada projek itu (113MW) adalah di Pantai Barat, manakala tujuh lagi untuk menjana 86MW berada di Pantai Timur
Katanya, jumlah ini (15 projek) dan projek LSS sedia ada sedang beroperasi atau sedang dilaksanakan, jumlah LSS di Sabah.
“Ini sudah tentu akan melebihi 350 Megawatt atau 23 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan menjelang 2027.
“Projek ini mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan dan tempatan Sabah, dijangka siap pada penghujung 2026,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, ini akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi bahan api, terutama di pantai timur.
“Harga bidaan yang ditawarkan adalah kompetitif melalui penyertaan yang menggalakkan dan akan menjadi penanda bagi projek tenaga di masa hadapan bagi memastikan amalan perolehan terbaik.
“MTS memperakukan Pelan Induk Pembangunan Hidro Sabah (SHDM) untuk pelaksanaan selama 10 tahun (2028 hingga 2037),” jelas Hajiji.
Menurutnya, SHDM dijalankan oleh ECoS mengenal pasti potensi 1,500MW kuasa hidro.
“Dengan kapasiti ini, sebagai tambahan kepada 500MW yang telah beroperasi atau diluluskan, jumlah penjanaan kuasa hidroelektrik, berjumlah kira-kira 2,000MW,” jelas Hajiji.
Beliau berkata, ini akan menjadi salah satu sumber tenaga utama, mencapai lebih 38 peratus campuran kapasiti penjanaan Grid Sabah.
“Ini adalah salah satu penyelesaian jangka panjang yang mampan untuk memenuhi keperluan penjanaan tenaga kita.
“Mesyuarat ini akan memberi tumpuan kepada menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi permintaan elektrik jangka sederhana dan panjang,” kata Hajiji.
Beliau berkata, setakat ini kerajaan meluluskan semakan semula Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) bagi memastikan penjanaan yang mencukupi bersesuaian dengan perubahan-perubahan semasa.
Mengenai pembekalan elektrik luar bandar, Hajiji mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk mencapai liputan 100 peratus di kawasan luar bandar menjelang tahun 2030.
“Kami sedang meneroka pendekatan inovatif untuk memperluaskan akses elektrik kepada masyarakat luar bandar.
“Setiap rakyat Sabah berhak mendapat bekalan elektrik yang stabil, dan kami akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk merealisasikan usaha ini.
“Inisiatif komprehensif ini menunjukkan dedikasi kerajaan negeri untuk membina infrastruktur tenaga yang kukuh dan mampan untuk Sabah.
“Kami bukan sahaja menangani keperluan semasa tetapi merancang secara strategik untuk generasi masa depan kita,” katanya.