Suara Mahasiswa bukan pendirian UMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan kenyataan dan tindakan kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai “Suara Mahasiswa UMS” berhubung isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong tidak mewakili pendirian rasmi universiti.

Dalam kenyataan hari ini, UMS berkata kumpulan terbabit bukan badan rasmi universiti dan segala kenyataan serta tindakan yang dibuat adalah atas kapasiti peribadi mereka sendiri.

Menurut universiti itu, pihak pengurusan menghormati kebebasan bersuara dan kebebasan akademik dalam kalangan mahasiswa, namun ia perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang dan peraturan universiti.

“Sebarang program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti di luar kampus hendaklah berpaksikan fakta sahih selain memelihara tatatertib serta nama baik universiti,” menurut kenyataan itu.

UMS turut mengingatkan mahasiswa supaya menghormati adat resam setempat dan menjaga sensitiviti masyarakat demi memastikan keharmonian komuniti terus terpelihara.

Kenyataan itu dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS susulan aktiviti turun padang kumpulan terbabit berkaitan isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong.