SANDAKAN: Kira-kira 40 keluarga di Kampung Sungai Sibugal Besar Baru 10 di sini didakwa menerima notis mengosongkan kediaman masing-masing kerana dibina di atas tanah rizab kerajaan mengikut Seksyen 166 Ordinan Tanah Sabah Bab 68.
Aktivis masyarakat, Yunus Nurdin berkata, penduduk yang terlibat mendakwa mereka diarahkan mengosongkan rumah tanpa sebarang pampasan atau tawaran penempatan semula walaupun kebanyakan mereka adalah penduduk tempatan dan warganegara Malaysia.
Beliau berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang tidak mengetahui ke mana mereka akan berpindah sekiranya tindakan pengosongan dilaksanakan.
“Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan nasib mereka dengan menyediakan penyelesaian yang adil termasuk penempatan semula atau bantuan sewajarnya,” katanya.
Yunus turut berharap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dapat campur tangan bagi meneliti isu berkenaan demi menjaga kebajikan rakyat yang terjejas.
