KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat telekomunikasi mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi di Kampung Tinagat, Tawau.
Tindakan itu susulan aduan yang dikemukakan oleh ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bersama penduduk kampung mengenai masalah liputan yang dihadapi.
Menurut MCMC, hasil ujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) di tiga lokasi mendapati dua lokasi gagal mencapai standard mandatori yang ditetapkan.
Berikutan itu, dapatan berkenaan telah disalurkan kepada syarikat telekomunikasi terbabit pada 29 Mei lalu untuk tindakan susulan.
MCMC memaklumkan penyedia perkhidmatan diberikan tempoh tujuh hari bekerja bagi mengemukakan maklum balas dan pelan tindakan penambahbaikan.
CelcomDigi diarahkan memperkukuh liputan rangkaian serta menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis diminta melaksanakan penyelenggaraan di menara telekomunikasi Kampung Tinagat.
MCMC turut memberi amaran bahawa notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikeluarkan sekiranya syarikat terbabit gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.
Suruhanjaya itu menegaskan komitmennya untuk memastikan penduduk menikmati akses komunikasi yang lebih baik dan stabil.
