Rakyat berhak tahu bila SMK Langkon siap, kata Tham

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook mahu kerajaan memberikan garis masa yang jelas berhubung penyiapan projek SMK Langkon di Kota Marudu yang tertangguh sejak bertahun-tahun lalu.

Beliau berkata, rakyat terutama pelajar, ibu bapa dan guru-guru berhak mengetahui perkembangan sebenar projek berkenaan yang dikatakan telah mencapai hampir 86 peratus tahap pembinaan.

Katanya, walaupun kontraktor penyiap sebelum ini telah diisytiharkan muflis, kerajaan perlu mempercepatkan proses pelantikan kontraktor baharu bagi memastikan projek dapat diteruskan tanpa kelewatan yang lebih panjang.

“Pendidikan adalah hak setiap anak Malaysia dan kelewatan menyiapkan sekolah dalam tempoh terlalu lama tidak boleh dianggap sesuatu yang biasa,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan status projek bangunan baharu SK Simpangan di Paitan yang masih belum siap sepenuhnya.