PUTRAJAYA : Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menarik balik rayuannya berkaitan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Dengan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, 71, kekal.
Semasa prosiding hari ini timbalan ketua bahagian rayuan dan perbicaraan di AGC Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengenai penarikan balik itu, dengan mengatakan bahawa AGC telah menerima representasi Ahmad Zahid.
Hakim Datuk Che Mohd Ruzima yang mengetuai panel itu, kemudiannya menolak rayuan pihak pendakwaan. Dua lagi anggota panel itu ialah Hakiim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.
Dalam prosiding hari ini Yusaini memberitahu mahkamah bahawa setelah meneliti keseluruhan kes itu, AGC mendapati tiada keterangan di dalam kes ini untuk menunjukkan Ahmad Zahid telah menggunakan jawatan beliau secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak tersebut.
“Keterangan menunjukkan kontrak-kontrak tersebut telah dianugerahkan sebelum responden (Ahmad Zahid) menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri. Ini menidakkan kewujudan peluang dan atau ruang untuk responden menyalahgunakan kuasanya,” kata beliau.
Mahkamah Rayuan hari ini dijadualkan mendengar rayuan pihak pendakwaan, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid, dan supaya beliau membela diri.
Ahmad Zahid dibebas dan dilepaskan daripada semua pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Sept 2022, tanpa perlu membela diri.
Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan notis rayuan dengan Mahkamah Rayuan.
Yusaini berkata keterangan di dalam kes ini menunjukkan bahawa proses pelanjutan kontrak-kontrak dipertikaikan telah dibuat secara teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Bellau berkata Ahmad Zahid telah mengemukakan dua surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara, masing-masing bertarikh pada 26 Jan 2023 dan 7 Feb 2024.
Yusaini berkata hakim Mahkamah Tinggi telah membuat beberapa dapatan fakta, antaranya sumber wang yang dikatakan diterima dalam kes ini, tidak disiasat dan beberapa individu yang dikatakan menjadi sumber dana dipertikaikan dari luar negara tidak dipanggil ketika siasatan mahupun ketika perbicaraan.
“Setelah mempertimbangkan representasi-representasi ini dan mengambil kira dapatan-dapatan hakim Mahkamah Tinggi, Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.