Bekas pengarah JANS bersalah kes ubah wang haram RM45 juta

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mendapati bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM45 juta.

Hakim Abu Bakar Manat berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, isteri tertuduh, Fauziah Piut dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng dibebaskan daripada pertuduhan masing-masing.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Sabah dan Kuala Lumpur sekitar Oktober hingga November 2016 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.