KOTA KINABALU : Enakmen Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) tidak mewajibkan pelantikan pegawai kanan terutama Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dalam kalangan Bumiputera.
Pengerusinya, Datuk Rubin Balang berkata dasar SEDCO membantu kaum Bumiputera di Sabah adalah jelas, dan tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.
Katanya, SEDCO ditubuhkan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi, menggerakkan pembangunan bandar-bandar di negeri ini, selain membantu kaum Bumiputera dalam pembangunan sosio ekonomi.
“Terdapat pihak mengkritik pelantikan GGM SEDCO yang baharu bukan dalam kalangan Bumiputera kerana sejak dahulu semua penyandang jawatan itu adalah kaum Bumiputera.
“Enakmen SEDCO tidak mewajibkan pelantikan pegawai kanan termasuk GGM datang dari kaum Bumiputera,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata ketika membahas Ucapan Dasar Kerajaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.
Rubin menegaskan, dalam konteks masyarakat majmuk ada baiknya integrasi kaum dalam jabatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membawa suasana yang lebih sihat dalam GLC.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan agar melakukan perubahan kepada polisi dan peraturan yang melambatkan pelaksanaan projek pembangunan apabila berlaku kerosakan pada utiliti dan infrastruktur asas rakyat.
“Kerajaan perlu segera melantik kontraktor untuk membaiki kerosakan secara design dan build, tanpa menunggu pelbagai proses kelulusan, prosedur lapuk dan kerenah birokrasi tidak wajar,” katanya.
Rubin mengambil contoh, jalan utama Kilometer 15 Tenom-Kemabong-Sipitang yang akan runtuh pada bila-bila masa dan berbahaya kepada para pengguna, sehingga kini masih belum diperbaiki.
“Tolonglah jangan tunggu sehingga sesudah berlaku runtuhan keseluruhan jalan berkenaan baharu pihak berwajib mengambil tindakan.
“Saya cadangkan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah diberi kuasa secara mutlak untuk menangani segera jalanraya yang rosak, termasuk melantik kontraktor dengan segera bagi membaik pulih jalan-jalan berkenaan,” katanya.