KOTA KINABALU : Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dengan kerjasama Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) akan menganjurkan Sabah Renewable Energy Conference 2025: Corridor to Transform Vision to Reality (SAREC 2025) pada 24 April 2025 di Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Persidangan sehari ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kewangan Sabah, bagi mewakili Ketua Menteri Sabah. Ia bertujuan menyokong pelan jangka panjang kerajaan negeri melalui Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS).
SAREC 2025 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh kolaborasi antara pembuat dasar, pelabur, pemain industri dan institusi kewangan ke arah mempercepatkan peralihan tenaga di Sabah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARC Group, Arshad Mohamed Ismail, persidangan ini akan menumpukan kepada peranan sektor kewangan dalam memobilisasi pelaburan serta mengatasi halangan pasaran terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif QSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli menyatakan bahawa inisiatif ini selari dengan sasaran Sabah untuk mencapai lebih 30% campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030, seperti yang digariskan dalam SE-RAMP 2040.
“Melalui SAREC 2025, kami berharap dapat menggalakkan sinergi antara sektor awam dan swasta serta membuka lebih banyak peluang pelaburan yang mampan di Sabah,” kata Ahmad Rizal.
SAREC 2025 akan menampilkan sesi pembentangan dan perbincangan panel yang memberi fokus kepada dasar, strategi pelaburan dan peralihan tenaga. Pendaftaran kini dibuka di www.sarec2025.com.