PUTRAJAYA : Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bersama Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga di Sabah.
Majlis penandatanganan MoU tersebut disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata, Ketua Pegawai MoU ini bertujuan mewujudkan kerangka pengiktirafan dua hala Perakuan Kekompetenan serta label keselamatan dan penarafan kecekapan tenaga bagi peralatan elektrik dan gas dikeluarkan ECoS dan ST.
Menurutnya, MoU ini menggariskan beberapa bidang kerjasama utama, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan Perakuan Kekompetenan ST.
“Sejak ECoS mengambil alih kuasa kawalselia aktiviti bekalan gas dan elektrik dari ST masing-masing pada 10 Januari 2023 dan 3 Januari 2024.
“Semua pemegang Perakuan Kekompetenan ST sedia ada akan diberikan tempoh masa sehingga 2 Januari lalu bagi memperoleh kelayakan melalui proses yang sewajarnya untuk memohon Perakuan Kekompetenan yang setara dari ECoS,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Abdul Nasser berkata, pemegang Perakuan Kekompetenan ST sedia ada mesti menghadiri dan lulus Kursus Enakmen Bekalan Gas 2023.
“Ini termasuk Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023 (bagi pemegang Perakuan Kekompetenan Gas ST) dan Kursus Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Selain itu Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (bagi pemegang Perakuan Kekompetenan Elektrik ST) untuk layek menerima Perakuan Kekompetenan ECoS yang setara,” jelas Abdul Nasser.
Menurutnya, MoU ini menyatakan pengiktirafan dua hala bagi Label Keselamatan dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga untuk memastikan kualiti standard bagi peralatan gas dan elektrik dalam menjamin kualiti dan keselamatan di kalangan pengguna.
“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk menyelaraskan proses, meningkatkan keberkesanan, dan memastikan pendekatan yang selaras dalam mengawalselia sektor tenaga di Sabah, Semenanjung Malaysia, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Melalui kerjasama bersama dengan ST, ECoS berharap dapat mewujudkan landskap tenaga yang lebih kompetitif dan mampan untuk kepentingan semua pihak berkepentingan,” kata Abdul Nasser.