KOTA KINABALU : Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk mengatur gerak kerja UMNO Sabah bagi menghadapi Pilhan Raya Negeri (PRN17) akan datang.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, beliau ingin mendapatkan penjelasan siapakah pemimpin atasan dimaksudkan Zulkarnain kononnya sudah berbincang mengenai kerjasama ini.
Katanya, jika benar adakah ‘Zukarnain’ lebih berhak mengetahui terlebih dahulu tentang gabungan ini berbanding kepimpinan UMNO Sabah.
“Secara logiknya Parti Warisan (WARISAN) juga kini bersama-sama memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan kepada tidak disebut untuk bekerjasama menghadapi PRN Sabah.
“Bagi saya sudah-sudah Zulkarnain Mahdar memberi cadangan, gambaran serta saranan yang tidak masuk akal ini. Kerana sudah tentu kami dipimpinan UMNO Sabah mempunyai perancangan strategi politik tersendiri untuk menghadapi PRN Sabah kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar agar UMNO Sabah bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi PRN Sabah ke-17 dijangka tahun depan.
Jeffrey Nor merupakan Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, tidak perlulah nyatakan bahawa kerjasama UMNO Sabah dengan GRS boleh memberikan terbaik untuk mengatasi masalah rakyat di Sabah.
“Kita sudah memberi peluang kepada GRS untuk menjadi kerajaan negeri namun ternyata banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan oleh mereka.
“Jadi pesan saya kepada Zulkarnain jangan masuk campur urusan UMNO Sabah….Biarlah GRS buat kerja mereka sementara masih ada tempoh sebelum PRN17. Apa yang pasti rakyat sedang memperhatikan apa yang dilakukan untuk mengatasi masalah infrastruktur di Sabah,” jelas Jeffrey Nor.