DUN Sabah: Skim Bantuan Kesihatan SMJ beri manfaat besar kepada pesakit kurang berkemampuan

KOTA KINABALU : Skim Bantuan Kesihatan SMJ ‘Sabah Sejahtera’ merupakan usaha meringankan beban pesakit buah pinggang tahap akhir khususnya terhadap golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, sebanyak RM8.5 juta disalurkan Kerajaan Negeri pada tahun ini melibatkan RM4 juta bagi kos rawatan serta RM4.5 juta untuk pembelian mesin hemodialisis.

Katanya, kerajaan menanggung sepenuhnya kos rawatan hemodialisis di hospital serta klinik kerajaan serta rawatan CAPD di rumah.

“Sebanyak 100 buah mesin hemodialisis akan dibekalkan ke 25 hospital dan klinik sebagai penggantian kepada 474 mesin yang sudah tidak berfungsi dengan baik.

“Skim ini kini memberi tumpuan kepada rawatan pesakit buah pinggang, namun kementerian merancang untuk meluaskan skopnya kepada perkhidmatan rawatan lain berdasarkan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuatim beliau mengakui keperluan teknologi rawatan baharu bagi penyakit talasemia dan menegaskan sebarang teknologi baharu perlu melalui proses penilaian ketat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dalam masa sama kerajaan meluluskan naik taraf Klinik Kesihatan Penampang kepada Jenis 3 di bawah Rolling Plan Keempat RMKe-12.

“Manakala Hospital Penampang dicadangkan dalam RP1 RMKe-13 dengan tapak baharu dikenal pasti di Kampung Maang,” jelas James.

Mengulas isu pesakit buah pinggang di Sandakan, beliau menyatakan Hospital Duchess of Kent (HDOK) merekodkan peningkatan jumlah pesakit hemodialisis dan CAPD dari tahun ke tahun.

“Sebanyak RM22 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf HDOK pada tahun ini.

“Kerajaan negeri bekerjasama dengan KKM bagi menambah jawatan doktor pakar dan petugas kesihatan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan keperluan tempat letak kereta bertingkat di HDOK ditangani melalui peminjaman tanah bersebelahan, perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan serta kemungkinan penglibatan pihak swasta.

“Bagi Hospital Tawau, proses tender sedang dijalankan bagi sistem makmal catheterization (cath lab), selaras dengan usaha menjadikan hospital itu pusat rawatan jantung invasif di Pantai Timur Sabah,” katanya.

James turut memberi jaminan bahawa isu kesesakan di Klinik Kesihatan Tawau akan diatasi melalui penaiktarafan fasiliti kesihatan sekitar seperti Klinik Kubota, Kinabutan dan Taman Semarak.

“Sebanyak lapan unit mesin hemodialisis juga akan diagihkan ke Hospital Tawau dalam waktu terdekat sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan nefrologi.

“Keadaan perkhidmatan pembersihan dan keselamatan di fasiliti kesihatan, pihak kementerian telah mengemukakan permohonan perluasan perkhidmatan tersebut kepada KKM melalui JKNS,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa Klinik Kesihatan Kemabong akan menerima mesin hemodialisis baharu.

“Manakala keperluan klinik lain juga akan diberi pertimbangan berdasarkan kesesuaian.

“Sebuah hospital hanya boleh berstatus Hospital Negeri sekiranya memiliki minimum 40 perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran.

“Hospital Tawau dan HDOK kini masing-masing mempunyai 18 dan 16 perkhidmatan tersebut,” kata James.