DUN Sabah: Masalah banjir di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo ditangani segera – Limus

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan masalah isu banjir di kawasan rendah tidak akan dipandang ringan dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, kementerian mengutamakan langkah mitigasi banjir sejak dari peringkat awal perancangan projek bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan sistem saliran sedia ada.

Katanya, setiap jajaran lebuh raya melalui proses penilaian ketat melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, termasuk penggunaan standard MSMA berdasarkan purata ulangan hujan 50 tahun (50-year ARI).

“Reka bentuk pembetung, simulasi banjir dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) turut diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD) Sabah sebelum sebarang kerja pembinaan dimulakan.

“Simulasi banjir sangat penting dalam memastikan pembinaan lebuh raya tidak mengubah aliran air semula jadi secara drastik, sekali gus mengelak banjir yang lebih buruk di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Dr. Daud Yusof (Bongawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Limus berkata,kementeriannya mengambil langkah proaktif di kawasan sering terjejas seperti Beaufort, dengan membina jalan bertingkat sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Beaufort adalah antara kawasan yang kerap dilanda banjir. Pembinaan jalan bertingkat di kawasan itu bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, malah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Dalam fasa pembinaan, kementerian juga memastikan pihak kontraktor melaksanakan penyelenggaraan sistem saliran sementara dan baharu bagi memastikan aliran air tidak terhalang akibat kelodak atau sampah,” jelas Limus.

Menurutnya, pihak memantau secara berkala kerja-kerja pembersihan longkang dan perparitan agar tidak ada halangan yang boleh menyebabkan limpahan air.

“Selain itu, beberapa penambahbaikan reka bentuk perparitan turut dilakukan berdasarkan keadaan semasa di lapangan, terutama di lokasi yang didapati mudah dinaiki air.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah menjadi penghubung utama dalam memastikan penyelarasan dilakukan secara berkesan antara agensi-agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata hasil kerjasama tersebut telah membawa kepada beberapa tindakan penambahbaikan seperti menaik taraf saiz pembetung untuk meningkatkan kapasiti saliran air.

Menurutnya, setiap kerja pembinaan yang melibatkan kawasan berhampiran sungai juga memerlukan kelulusan rasmi terlebih dahulu sebagai langkah kawalan risiko banjir.

Katanya, kementerian menyedari bahawa isu banjir tidak boleh diselesaikan hanya melalui pendekatan dalam projek Pan Borneo semata-mata.

“Oleh itu, kami akan terus mempergiat kerjasama bersepadu bersama agensi lain bagi menangani isu banjir secara holistik, khususnya di kawasan luar jajaran Pan Borneo.

“Penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir memerlukan perancangan menyeluruh dan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai peringkat agensi,” kata Limus.