KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Luar Bandar, komited memastikan ketelusan serta keberkesanan pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, ini termasuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pembinaan rumah yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Katanya, sebanyak 4,028 unit rumah siap dibina setakat 8 April lalu manakala 454 unit lagi masih dalam pelaksanaan.
“Bagi kuota 2025, projek masih di peringkat pra-pelaksanaan. Berkaitan dakwaan projek terbengkalai di kawasan DUN Lamag, pemantauan telah dijalankan dan mendapati pembinaan masih berjalan dengan 51 unit rumah telah siap dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mengulung Perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Jahid berkata, kontraktor telah memberikan komitmen untuk menyiapkan baki rumah secepat mungkin.
“Masalah kelewatan berpunca daripada kekangan tenaga kerja di pihak kontraktor. Namun, kontraktor telah memberikan komitmen untuk menyiapkan baki rumah secepat mungkin.
“Proses pemilihan adalah dibuat berasaskan garis panduan dan syarat ketat termasuk pendaftaran dalam sistem e-Kasih, status OKU, mangsa bencana, atau memiliki rumah daif.
“Siasatan akan dijalankan terhadap mana-mana penerima yang tidak menepati syarat, bagi memastikan integriti program ini terpelihara,” jelas Jahid.
Menjawab isu pembangunan kawasan MESEJ Bangkaruan di Silam, beliau menyatakan kementerian terbuka untuk menilai cadangan kawasan baharu tertakluk kepada kesesuaian tapak.
Beliau turut memperincikan proses pemilihan penerima Rumah Mesra SMJ melibatkan senarai daripada ADUN setempat, lawatan tapak oleh pegawai e-Kasih, dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Focus Group Daerah.
“Kaedah pembinaan boleh menggunakan kaedah konvensional atau Sistem Binaan Berindustri (IBS) bergantung kepada faktor lokasi, kos dan akses bahan binaan.
“Penggunaan sistem IBS terbukti fleksibel, kos efektif dan menepati piawaian teknikal walaupun turut dibangkitkan isu ketahanannya oleh beberapa ADUN,” kata Jahid.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan program kemahiran di bawah Pusat Kemahiran Desa akan diteruskan, dengan penganjuran dijadualkan pada Julai 2025.
Isu pembinaan rumah atas air seperti dicadangkan ADUN Tanjung Papat ditolak kerana faktor keselamatan dan pengalaman buruk projek PPRT terdahulu.
Untuk DUN Merotai pula, penilaian reka bentuk rumah akan ditentukan oleh Majlis Perbandaran Tawau berdasarkan faktor keselamatan dan risiko banjir.
Beliau juga menjelaskan isu rumah tidak berpenghuni akibat pembinaan rumah tidak bertiang di kawasan banjir, akan ditangani melalui penambahbaikan dalam penilaian tapak.