KOTA KINABALU : Sejumlah RM42,644,544 peruntukan disediakan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta penyelenggaraan aset pembetungan secara berkala di seluruh negeri ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) juga melaksanakan 23 projek untuk menaiktaraf serta membaik pulih aset sedia ada milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak tahun 2015.
Katanya, dibawah program Skim Pembetungan Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak RM10,931.085 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini.
“Aset pembetungan dikenalpasti sebagai kritikal dimana terdapat aduan berulang yang memerlukan kerja-kerja rutin operasi dan penyelenggaraan, pihak JPP Sabah akan merancang serta mengadakan kontrak operasi dan penyelenggaraan tiga tahun secara tahunan.
“Selain itu, terdapat juga aset pembetungan yang telahdikenal pasti sebagai kritikal dimasukkan dalam skop kerja di bawah program Skim Pembetungan Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2024,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.
Limus menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang bertanya kepada Kementerian Kerja Raya apakah tindakan segera untuk menangani isu-isu pembentungan semakin serius sekali gus memerlukan peruntukan besar untuk menyelesaikannya.
Limus berkata, JPP Sabah menyedari tentang peningkatan jumlah aduan diterima pada tahun ini berbanding dengan tahun lalu selain penerimaan aset tambahan dari PBT bagi daerah Penampang.
“Langkah proaktif menambah baik organisasi di JPP Penampang diambil termasuk menggantikan Pegawai Kerja Pembetungan Daerah, J29 (PKPD) kepada Jurutera Daerah, J41 (JD).
“Ini bagi membolehkan JPP Penampang dapat berfungsi dengan lebih berkesan sekali gus mampu menangani setiap aduan dengan cepat,” jelas Limus