Dun Sabah : RM20 juta peruntukkan disediakan laksana program PANTAS

KOTA KINABALU : Kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) di Sabah pada tahun ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sehingga 31 Mei lalu program PANTAS menyelesaikan pengukuran 31,518 lot tanah Anak Negeri membabitkan jumlah keluasan tanah 46,285.411 hektar (atau 114,373.741 ekar).

Katanya, Program PANTAS ini juga melibatkan 145 kampung yang terletak di 22 daerah di seluruh negeri Sabah.

“Sebanyak 250 geran tanah hasil pengukuran PANTAS di DUN Kadamaian tersedia untuk diserahkan pada bila-bila masa. Program PANTAS di Kg. Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangka akan selesai sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Manakala, kebenaran dari Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakan Program PANTAS bagi Kg. Togudon di kawasan Moyog diterima pada 3 Julai lalu. Jabatan Tanah dan Ukur dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan ini bagi memulakan pengukuran tanah, katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.

Nizam menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick bertanya kepada Ketua Menteri berapakah peruntukan disediakan untuk Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (PANTAS).

Nizam berkata, bagi daerah Telupid, Jabatan Tanah dan Ukur berjaya menyelesaikan menjalankan pemeriksaan terhadap empat kampung dikenalpasti bersesuaian untuk dilaksanakan Program PANTAS dalam tempoh terdekat.

“Antara kampung tersebut adalah Kampung Ansuan, Kampung Wonod, Kampung Buis dan Kampung Bouto.Kebenaran melaksanakan Program PANTAS untuk empat kampung diperoleh pada 28 Jun lalu.

“Pada masa kini, Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung-kampung tersebut untuk memulakan pengukuran tanah,” jelas Nizam.