Dr Joachim dahului penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam  mendahului senarai 1,407 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri sempena ulang tahun ke-69 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, esok.

Dr Joachim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang dan Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, adalah antara enam penerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) iaitu darjah kebesaran tertinggi Sabah dan membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Turut menerima penganugerahan darjah kebesaran itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M Yahya dan bekas Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Iliyas Ibrahim.

Penerima lain ialah bekas Menteri Kewangan negeri Datuk Mohammad Noor Mohammad Mansoor dan ahli perniagaan Datuk Seri Lim Haw Kuang.

Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa pula adalah antara 81 orang yang dianugerahkan darjah kebesaran kedua tertinggi negeri iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dan membawa gelaran Datuk.

Ahli Dewan Negara Senator Noraini Idris, isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Juliah Salag, Pembantu Menteri Kewangan negeri Jasnih Daya, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Flovia Ng antara penerima PGDK.

Turut menerima anugerah itu Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Mohd Hamsan Awang Supain, Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Andi Muhammaf Suryady Bandy, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Harun Durabi.

ADUN yang menerima PGDK terdiri daripada Ruslan Muharam (Lumadan), Hasan A Gani Pg Amir (Sebatik),  Hamild@Hamid Awang (Balung), Fairuz Renddan (Pintasan),  Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan ADUN dilantik Jafari Waliam.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan; Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah; Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) DCP Hamzah Ahmad; Panglima Divisyen Kelima Infantri Mej Jen Abdul Rahman A. Wahab dan Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCom SAC M.Chandrasehkaran, antara penerima anugerah itu.

Turut menerima anugerah sama Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof; Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Tah Nia Jaman; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Prof Madya Dr Ramzah Dambul dan bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr Yap Yin Hin.

Sementara itu, 131 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK); 246 penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK); 319 akan dianugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK); 393 menerima Bintang Kinabalu (BK); sembilan menerima Jaksa Pendamai (JP) dan 222 penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).

Juhar dijadual menyempurnakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri yang akan berlangsung di Istana Seri Kinabalu di sini, pagi ini.

— BERNAMA