Cadangan bubar Parlimen diputuskan bersama dalam MT UMNO

KUALA LUMPUR: Cadangan UMNO untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan pada Jumaat.

“Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung, sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, jurucakap dia seorang sahaja,” kata Perdana Menteri kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ahmad Maslan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat MT UMNO berkata MT UMNO Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Ismail Sabri berkata, isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu.Ditanya sama ada beliau ada meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, beliau berkata:

“Kita dari segi UMNO, ada Top 5, ada Biro Politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat… kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya.

– Bernama