KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengekalkan jawatan sebagai Presiden parti setelah memperoleh pencalonan 100 peratus dari 64 Bahagian berdaftar di seluruh negeri dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Kali Kedua 20-21 Oktober ini.
Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Kohoi berkata, Timbalan Presiden (Bumiputera Bukan Islam) Datuk Ellron Alfred Angin dan tiga naib presiden juga telah menang tanpa tanding.
“Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan secara dalam talian ini melibatkan Persidangan Wiramuda dan Wiranita pada 20 Oktober sementara Mesyuarat Agung Perwakilan Pusat pada 21 Oktober,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Guandee, tiga naib presiden yang turut menang tanpa bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman; Ketua Bahagian STAR Silam, Nawawi Saking (Bumiputera Islam); dan Ketua Bahagian STAR Karambunai Kapitan Stephen Teo (Cina).
Proses pengundian 10 perwakilan setiap bahagian untuk memilih calon-calon bertanding berlangsung di pusat-pusat pengundian setempat di seluruh negeri sepanjang 10 – 18 Oktober.
Guandee berharap calon-calon bertanding dan para penyokong mereka berkempen secara kekeluargaan kerana pemilihan ini merupakan proses dalaman parti yang perlu disempurnakan secara berhemah.
“Keputusan pemilihan setiap jawatan akan diumumkan pada 20 Oktober untuk Wiramuda dan Wiranita sementara bagi jawatan-jawatan di peringkat pusat akan diumumkan pada kemuncak persidangan pada 21 Oktober,” katanya.
Sementara itu, Guandee memaklumkan persidangan kali ini akan menyaksikan langkah ke hadapan parti untuk memperkasakan peranan dengan membentangkan beberapa usul berkaitan pindaan perlembagaan.