Dakwaan Lompat Parti: Azhar kekal bersama Parti Warisan Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azhar Matussin menafikan kononnya beliau bersama enam lagi wakil rakyat bakal meninggalkan Parti Warisan (Warisan) dalam tempoh terdekat.

Azhar berkata, beliau juga menafikan tidak pernah menandatangai apa-apa dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti.

“Perkara ini tidak betul…Saya tidak pernah menandatangai apa-apa SD bagi tujuan menukar sokongan kepada parti lain.

“Ini hanya sekadar mainan politik sekali gus sengaja menimbulkan isu yang dilihat tidak masuk akal serta hanya mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah berkata, ketika ini semua ADUN Warisan berada di belakang Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sekali gus menyokong penuh kepada Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu. Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Azhar menegaskan, sebagai pemimpin beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain sekali gus kekal bersama kepimpinan sedia ada.