Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan supaya pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil langkah segera mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi.
Katanya, langkah mengukuhkan gabungan dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 September tahun lalu itu perlu bagi mengelak perpecahan dalam kalangan ahli gabungan itu, khususnya di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Perpecahan kedua-dua parti itu yang dilihat ketika PRN Melaka, 10 November lalu perlu dijadikan peringatan agar tidak berjangkit ke negeri ini memandangkan situasi politik Sabah berbeza dengan Semenanjung.
“Dalam hal ini, pemimpin GRS perlu duduk bersama untuk membincangkan tindakan segera bagi memperkasa GRS. Sangat penting untuk memperkasa GRS bagi menentukan hala tuju gabungan itu sendiri.
“Sehubungan itu, kita perlu memberi keutamaan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi dan pemimpin GRS perlu membincangkan perkara ini dan merealisasikannya.
“GRS boleh menimbangkan untuk membuka keahlian secara terus kepada parti lain untuk menjadi ahli gabungan itu, selain individu mahu menjadi ahli GRS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan yang juga Pengerusi Kelab Backbencher GRS itu berkata, GRS perlu memastikan rakyat negeri ini tidak lagi keliru mengenai kedudukan gabungan berkenaan.
Katanya, GRS perlu terus memberi tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat Sabah terutama dalam membangunkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan generasi muda sebagai pemimpin masa depan Sabah.
“Secara peribadi, saya sudah menyampaikan pandangan mengenai perkara ini kepada kepemimpinan tertinggi GRS.
“Memang ada perbezaan pendapat, tetapi demi masa depan Sabah, saya percaya sangat penting untuk kita membincangkan perkara ini secara terbuka, boleh diterima akal dan membina,” kata Salleh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Sabah.