Agensi kerajaan bantu peserta kursus pasar produk mereka – Yakub

KOTA KINABALU: Golongan usahawan perlu mencari kaedah terbaik dalam menyediakan ruang pasaran bagi memasarkan hasil produk selepas menamatkan kursus kemahiran mereka.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata,  ini kerana selepas menamatkan kursus pihak peserta kursus seolah-olah tidak berminat untuk meneruskan bidang tersebut berikutan ketiadaan ruang pasaran bagi memasarkan produk mereka.

Yakub berucap di majlis tersebut.

Katanya, penganjur kursus perlu berbincang dengan wakil pembeli atau pemborong bagi membolehkan produk mendapat ruang untuk dipasarkan sekali gus menggalakan mereka menceburkan diri dalam bidang ini secara sepenuh masa.

“Kita melihat ini merupakan satu kelemahan yang dialami selepas kursus dijalankan. Peserta kursus tidak mempunyai ruang pasaran yang besar menyebabkan kemahiran mereka terhenti begitu sahaja.

Yakub (kanan) mencuba hasil produk makanan laut peserta kursus.

“Ada kalangan mereka sudah mendapat peralatan kursus yang lengkap namun terpaksa dijual ke individu lain berikutan tidak berminat untuk meneruskan berikutan tiada pulangan selepas menceburi bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus Pemprosesan Hasilan laut, di sini hari ini.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai berkata, sudah tentu jika diusahakan secara baik serta dibantu oleh Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah(MAFI) peserta kursus dapat memasarkan produk mereka secara meluas di masa depan.

Yakub bergambar kenangan bersama peserta kursus.

“Faktor penting adalah modal awal juga perlu dititikberatkan. Agensi kerajaan termasuk Tekun Nasional serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) digalakan membantu peserta kursus untuk memulakan modal perniagaan mereka,” katanya.

Dalam tempoh sama, Yakub memuji komitmen peserta kursus yang sanggup menghabiskan masa selama tujuh hari sekali gus berupaya memperoleh kemahiran menghasilkan pemprosesan hasil laut.

“Bukan mudah untuk menamatkan kursus yang panjang seumpama ini. Jadi harapan kita agar peserta kursus dapat memperoleh kemahiran sambil boleh menghasilkan pendapatan lumayan di masa depan,” katanya.