Lelaki didakwa persetubuhan luar tabii dengan kambing

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina.

Shaari Hasan, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan haiwan, iaitu kambing betina di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 27 Julai lalu, laporan Berita Harian hari ini.

Shaari didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Disember depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.