KOTA KINABALU : Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kolaborasi bersama Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) melalui akademik serta perundingan sebagai menyokong pertumbuhan industri pelancongan berikutan peningkatan kemasukan pelancong yang tinggi dari Negara China.
Hasrat kolaborasi dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara CI UMS dan KTYS di kampus induk KTYS baru-baru ini.
UMS diwakil Pengarah CI UMS (Malaysia), Prof. Dr Chong Khim Phin menandatangani LoI tersebut, manakala KTYS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tah Nia Jaman.
Khim Phin melalui satu kenyataan berkata, menerusi LoI itu, CI@UMS akan menyediakan latihan bahasa Mandarin kepada pelajar KTYS merupakan pemandu pelancong sekali gus terlibat dalam industri pelancongan.
“Latihan itu menggabungkan pendidikan budaya Cina dan sejarah Cina tempatan di Sabah untuk meningkatkan pemahaman dan komunikasi yang lebih baik dalam kalangan pelajar KTYS selepas tamat kursus mereka kelak.
“Peningkatan jumlah pelancong Cina di Sabah, pembelajaran bahasa Mandarin mendapat sokongan dana daripada Jabatan Perdana Menteri membolehkan CI@UMS dan KTYS melatih lebih ramai penduduk tempatan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin lebih baik serta meningkatkan peluang pekerjaan mereka dalam industri ini,” jelas Khim Phin.
Menurutnya, melalui pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan program berkaitan seperti bengkel atau aktiviti kemasyarakatan bersama.
“Latihan bahasa Mandarin pertama bermula dalam bulan Julai ini untuk tempoh tiga bulan.
“Persediaan dalam pengajaran bahasa Mandarin yang berkualiti dan berkesan sentiasa menjadi antara keutamaan CI UMS sejak penubuhannya,” kata Khim Phin.