TAWAU : Seorang lelaki tempatan bersama 5.46 gram dadah jenis syabu ditahan di sekitar kawasan Kampung Ranggu, Tawau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 32 tahun ditahan kira-kira jam 12.15 tengahari.
“Ketika pemeriksaan pada tubuh badan suspek, polis menjumpai beg kecil berwarna hitam di dalam poket seluar dipakai dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua peket plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat 5.46 gram,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Jasmin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, hasil semakan rokod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.