KOTA KINABALU: Sabah komited memastikan situasi keselamatan meliputi kawasan kepulauan, pesisiran serta sempadan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) sentiasa berada dalam keadaan baik serta terkawal.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keluasan maritim besar di Sabah merupakan penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi tidak lepas dari ancaman keselamatan sekali gus aktiviti jenayah merentasi sempadan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam usaha mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan militan di Sabah.
“Ini juga termasuk kepada anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan ESSZone.
“ESSCOM juga memainkan peranan besar mengadakan operasi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara daripada dibolosi pihak tidak bertanggungjawab sekali gus menganggu gugat ketenteraman negeri Sabah,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada di kedudukan lokasi strategik dengan Pantai Timur Sabah sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu.
“Pewujudan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur juga akan menambah merit serta keunggulan negeri Sabah.
“Perkembangan positif ini wajar diambil peluang kerana kebanjiran manusia serta perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, kerajaan yakin pelabur domestik serta antarabangsa boleh menerokai sub-rantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang pesat.
“ESSCOM menjadi jenama keselamatan (brand) yang dijadikan rujukan pihak luar negara untuk membuat pelaburan.
“Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata Hajiji.