KOTA KINABALU: Cadangan Perpindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis wajar dibatalkan atas alasan bahawa perpindahan tersebut akan merosakkan ekosistem ekonomi di Putatan.
Pada masa yang sama, menyulitkan lagi jadual perjalanan golongan perniagaan yang datang ke Sabah.
Ketua Penerangan Wirawati Warisan, Izzatul Aini berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya sedar bahawa disebabkan ketiadaan aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi dan berskala besar di Putatan, KKIA penting kepada daerah ini kerana ianya menjana pekerjaan kepada golongan belia dan peluang perniagaan untuk penduduk tempatan dalam sektor perkhidmatan.
“Sebagai sebuah sub-bandaraya, Putatan (bersama Penampang dan Inanam) menampung keperluan perumahan oleh Bandaraya Kota Kinabalu.
“Tetapi disebabkan oleh saiz daerah ini yang kecil dengan kepadatan penduduk tertinggi di Sabah (1,737 orang setiap km persegi), aktiviti ekonomi di sini terhad kepada industri kecil dan sederhana dalam sektor-sektor perkhidmatan,e pertanian (perikanan), pembuatan (industri ringan) dan pembinaan (hartanah),” katanya.
Disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang terhad di daerah ini, Izzatul berkata KKIA menjadi tempat belia-belia Putatan mendapatkan pekerjaan terutamanya dalam bahagian operasi darat manakala penduduk tempatan disini.
Ini termasuklah dari Penampang, mendapat manfaat bukan sahaja dalam ekonomi gig (e-hailing) tetapi juga dalam sektor perkhidmatan (makanan & minuman dan penginapan) untuk pengembara udara dari selatan Pantai Barat sebelum mereka menaiki penerbangan mereka, katanya.
Oleh itu, beliau percaya bahawa adalah tidak bijak untuk memindahkan KKIA ke Kimanis walaupun pemindahan ini hanya akan siap dalam masa 10 tahun kerana pertambahan penduduk di Putatan (dalam jangka masa itu) akan memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi disediakan.
“Peningkatan insiden kemiskinan mutlak di Putatan kepada 12.9% (2022) berbanding 10.9% (2019) memberi amaran kepada kita betapa pentingnya kita mengekalkan penjana-penjana ekonomi yang ada di daerah ini sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Izzatul juga berkata memandangkan masih terdapat banyak ruang untuk memperkenalkan pelbagai jenis sektor dan industri yang bersesuaian di Kimanis, maka adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa pemindahan KKIA diperlukan untuk mengaktifkan aktiviti ekonomi di sana.
“Dengan asas yang baik dalam industri minyak dan gas serta Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), Kerajaan Negeri sentiasa boleh membangunkan industri berat dan hiliran, hartanah malah mewujudkan ‘Koridor Selatan Sabah’ di Kimanis untuk meningkatkan aktiviti ekonominya tetapi Putatan tidak mempunyai peluang sedemikian.
Wirawati Warisan juga percaya bahawa, daripada merencanakan perpindahan KKIA ke Kimanis, adalah lebih baik jika Kerajaan Negeri dan Datuk Yusof Yacob (sebagai Pengerusi to Qhazanah Sabah) berusaha untuk menyakinkan Petronas untuk membina loji penapisan gas asli di SOGT setaraf dengan tiga MLNG yang sedia ada supaya warga Kimanis boleh menikmati limpahan ekonomi daripada industri gas.