Bung Moktar diingatkan agar tidak menjaga tepi kain orang, fokus kepada isu sebenar – Nizam

KOTA KINABALU : Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dinasihatkan agar tidak menjaga tepi kain orang, fokus pada isu sebenar sekali gus patuh kepada undang-undang negara tanpa membuat tuduhan secara melulu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jika dilihat ucapan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan

semasa merasmikan Pelancaran Jentera Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mengandungi sebarang unsur hasutan.

Katanya, sebaliknya ucapan tersebut hanya memberi semangat kepada jentera pemuda bersama misi serta perjuangan parti menekankan prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga.’

“Prinsip ini menyeru pemuda untuk mempertahankan apa yang menjadi hak mereka dan berhati-hati dengan musuh dalam selimut dilihat cuba untuk merampasnya.

“Persoalannya, mengapa Ketua UMNO Sabah begitu terkesan dengan ucapan ini? Adakah beliau secara tidak langsung mengakui bahawa UMNO adalah musuh dalam selimut untuk Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, sebagai ahli politik yang berpengalaman, tidak wajar bagi Bung Moktar menyerang Dr. Jeffrey secara peribadi dengan mengungkit perjalanan politiknya yang penuh liku.

“Apa kaitan perjalanan politik seseorang pemimpin dengan isu ini?. Sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan GRS dan menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag serta Parlimen Kinabatangan atas sokongan ahli ahli GRS, Bung sepatutnya menyokong prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga.’

“Namun, nampaknya (Bung Moktar) beliau masih sukar menerima hakikat bahawa era Barisan Nasional (BN) sudah berlalu. Kini adalah era GRS, dengan misi yang jelas serta perjuangan rakyat Sabah yang dipacu oleh Plan Sabah Maju Jaya (SMJ),” jelas Nizam.

Menurutnya, Bung Moktar seharusnya sedar rakyat Sabah kini semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang memahami keperluan serta aspirasi mereka.

“Serangan Bung Moktar terhadap prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ hanya menonjolkan keresahannya bersama UMNO terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan.

“Seperti dinyatakan Dr. Jeffrey, rakyat Sabah perlu bersatu bersama pemimpin untuk menolak kaedah pecah dan perintah merosakkan pembangunan, ekonomi dan sosial negeri Sabah selama puluhan tahun di bawah pentadbiran UMNO.

“Dr. Jeffrey berhujah berasaskan fakta, bukan retorik politik. Bung Moktar sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, pastinya sedar kawasan tersebut masih mundur dan daif,” kata Nizam.

Sudah tentu menurut Nizam Ini adalah bukti jelas kegagalan model pentadbiran yang beliau wakili selama ini.

“Lebih mengejutkan, Bung Moktar memberikan kepercayaan kepada rakaman video yang meragukan dan jelas memiliki motif politik.

“Adakah Bung Moktar sebahagian daripada komplot ini sehingga bertindak menjadi pendakwa dan hakim sekali gus,” tambah Nizam.

Beliau berkata, sebagai pemimpin, Bung Moktar seharusnya lebih bijak memahami bahawa mana-mana rakaman video, audio atau gambar disunting dan tidak memiliki kredibiliti tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.

“Adalah lebih baik (Bung Moktar) beliau sendiri fokus dengan tuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya,” kata Nizam.