DAP Sabah diberi mandat tentu kedudukan dalam kerajaan negeri

KOTA KINABALU : DAP Sabah diberi mandat mengkaji kedudukannya dalam pentadbiran Sabah susulan dakwaan rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun kerajaan di negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata,Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang bermesyuarat malam tadi telah diberi penerangan secara terperinci oleh Ketua DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

“CEC menegaskan pendirian DAP yang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes tersebut dengan tegas.

“CEC telah memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran kerajaan Sabah dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

DAP mempunyai dua wakil dalam kerajaan Sabah iaitu Phoong sebagai menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan manakala Adun Likas Tan Lee Fatt diberi amanah timbalan menteri kewangan.

Penyertaan mereka susulan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas kegagalan gerakan politik dikenali ‘Langkah Kinabalu’ didakwa dirancang Umno pada Jan tahun lalu.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan ada lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.

Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya bersedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki membidas helah itu dan meminta bukti diberikan supaya siasatan dapat dibuat segera.

Kelmarin, Azam mengesahkan pemberi maklumat itu masih enggan menyerahkan bukti yang dimilikinya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu SPRM menyiapkan siasatan kes.