Bila BERSATU khianati UMNO? – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang menuduh BERSATU mengkhianati UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hingga menggagalkan Muafakat Nasional (MN).

Memetik laporan Berita Harian hari ini ia susulan bekas Presiden UMNO itu menerusi Facebook mendakwa, BERSATU menerusi Perikatan Nasional (PN) meletak calon untuk melawan Barisan Nasional (BN) di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mempersoalkan dakwaan itu berikutan ketika PRN Sabah, tiada sebarang kerusi yang menyaksikan pertembungan antara calon BERSATU dengan UMNO.

Sebaliknya, Muhyiddin mendakwa, jawatankuasa pembahagian kerusi antara PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) gagal mencapai persetujuan apabila BN menambah jumlah kerusi yang mahu ditandingi menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat.

“PBS juga meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh STAR, menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN.

“Melihat keadaan ini, saya pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti PN, BN dan PBS.

“Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh parti rakan yang lain.

“Pada saat ini, BERSATU adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh rakan dalam PN, BN dan PBS, manakala PAS mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Selain menuduh BERSATU mengkhianati UMNO, Najib menerusi catatan sama Ahad lalu turut mendakwa, PN meletakkan calon Bebas di enam kerusi DUN yang ditandingi BN pada PRN Sabah untuk memecahkan undi.

Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri keenam itu mendakwa, BN mengorbankan banyak kerusi kepada BERSATU sebagai sebahagian rundingan untuk diberi jawatan Ketua Menteri jika BN menang, namun sebaliknya berlaku apabila BERSATU mendapat jawatan itu.

Mengulas perkara itu, Muhyiddin memaklumkan sudah meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan calon Ketua Menteri Sabah daripada UMNO, namun beliau tidak berbuat demikian sehingga kempen PRN Sabah berakhir.

Disebabkan itu, beliau menamakan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah jika PN menang dengan jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selesai PRN Sabah, katanya, PN menang jumlah kerusi terbanyak dengan 17 kerusi berbanding BN (14 kerusi), sekali gus PN mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang kemudian turut dipersetujui ADUN GRS lain, termasuk daripada UMNO.

“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO.

“Datuk Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab MN gagal,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin mengingatkan Najib untuk tidak lagi mengungkit soal MN kerana BERSATU sudah putuskan untuk tidak menyertai MN, manakala UMNO juga sudah memutuskan kerjasama dengan BERSATU dalam Perhimpunan Agung parti itu.

Beliau turut menyifatkan, pengakhiran kerjasama antara BERSATU dan UMNO memberi hikmah kepada partinya kerana BERSATU tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

“Secara peribadi, saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai bos,” katanya sinis.