KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu memberi penjelasan secara terperinci berkaitan laporan media antarabangsa menyiarkan laporan Nature Conservation Agreement (NCA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, laporan itu juga menyebut NCA ini telah dibentangkan kemudiannya sudah diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Katanya, ini merupakan satu kenyataan yang tidak benar serta mengelirukan rakyat Sabah dan masyarakat antarabangsa.
“Parti WARISAN tidak pernah menolak sebarang usaha untuk mengekalkan khazanah bumi Sabah sekali gus digunakan bagi tujuan perusahaan karbon kredit di negeri ini.
“Industri ini sudah dijalankan di merata dunia dengan menggunakan model perniagaannya adalah berdasarkan penjualan karbon serta bukannya pencagaran tanah hutan.
“WARISAN boleh menyokong usaha pengekalan rizab hasil bumi di negeri ini melalui penjualan karbon kredit namun perlu dilakukan secara terbuka dan berintegriti selain mengambil kira kepentingan Orang asal dan peribumi di negeri ini,” katanya.
Beliau mengulas laporan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Afdal semalam berkaitan dengan kenyataan media malam tadi berhubung suatu artikel antarabangsa Al Jazeera bertajuk ‘Very hush-hush: Borneo’s $80bn carbon deal stokes controversy.’
Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN berkata, dalam artikel itu ada menyebut bahawa mengikut seorang (ADUN) Nature Conservation Agreement (NCA) ini telah pun dibentangkan serta diluluskan pelaksanaannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Saya berani sahkan di sini tiada sebarang kertas usul dibawa pihak kerajaan untuk dibentangkan dalam persidangan DUN baru-baru ini berkaitan NCA ini. Saya hadir disepanjang perjalanan persidangan DUN ini,” katanya.
Azhar berkata, hanya pada pada 6 Disember 2021, Shafie sebagai Ketua Pembangkang di DUN Sabah telah membangkitkan isu mengenai NCA ini dan buat pertama kalinya ia disebut dalam Mesyuarat DUN Sabah.
“Kita mempersoalkan kewajaran Kerajaan Negeri Sabah untuk menandatangani perjanjian ini yang dilihat sebagai berat sebelah serta tidak memberi kepentingan yang jelas kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Tempoh durasi perjanjian adalah selama 100 tahun sekali gus ini menyebabkan dua juta hektar hutan di Sabah diserahkan kepada syarikat asing yang berpengkalan di Singapura
“Kita juga mempersoalkan samada penandatangan yang mewakili kerajaan negeri Sabah adalah sah dari segi perundangan atau tidak. Kerajaan negeri perlu buat penjelasan,” katanya.
Azhar berkata, mengikut semakan syarikat ini tidak pernah mengendalikan apa-apa jenis perniagaan dalam industri karbon kredit.
“Oleh itu kita menyangkal kenyataan NCA ini telah dibentangkan kemudiannya sudah diluluskan oleh DUN.