Berbeza agama tak halang Ebit Lew rai Tahun Baharu Cina bersama keluarga

Gambar daripada FB Ebit Lew

PETALING JAYA: Perbezaan agama bukan penghalang buat pendakwah terkenal Ebit Lew untuk berkumpul bersama keluarga menyambut kemeriahan Tahun Baharu Cina.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau memuat naik beberapa foto ketika meraikan perayaan itu di samping keluarga tercinta.

Dalam entrinya, pendakwah itu meluahkan kesyukuran dapat bertemu ahli keluarga dan sanak saudara walaupun tidak lengkap sepenuhnya susulan pandemik Covid-19.

“Setahun sekali baru dapat bertemu. Ini dah setahun kita tak berjumpa. Ramai tahun ni tak dapat bertemu. Semoga tahun depan Covid-19 sudah tiada, kita semua dapat bertemu semuanya.

Gambar daripada FB Ebit Lew

“Bahagia dan kekayaan ialah dapat bersama keluarga yang kita cintai dan sayangi. Bahagia sangat rasa,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warganet menzahirkan rasa terharu melihat silaturahim dibina keluarga pendakwah itu walaupun berlainan agama dan kepercayaan.

Seorang warganet bernama Jeremy Tang, menyifatkan Ebit sebagai teladan yang baik dalam memaparkan pemuafakatan dan keharmonian sesama kaum.

Ruangan iklan

“Perbezaan kepercayaan agama dan budaya bukan penghalang antara kaum di Malaysia. Tidak lain dan tidak bukan, ustaz Ebit Lew menjadi teladan yg terbaik. Syabas.”

Sementara itu, seorang lagi warganet dikenali sebagai Lily Aleeya Tan, turut berkongsi kegembiraannya ketika menyambut Tahun Baharu Cina bersama ibu yang berbangsa Cina walaupun sudah memeluk agama Islam.

“Ramai kecam dan pertikaikan orang Islam tak boleh sambut Tahun Baharu Cina, mak tetap yang melahirkan kita saya pun balik, mak bawa saya dan anak-anak pergi beli nasi lauk yang halal makan bersama (Makan Besar),” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply