Kerajaan tidak akan dipinggir kawasan pembangkang: Bung

Bung sampaikan sumbangan: Gambar oleh: Jaffar Abdul Wahid

Oleh: Zakaria Damit
TONGOD: Kerajaan negeri tidak akan meminggirkan atau mengabaikan segala keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili pembangkang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan mempunyai perancangan untuk menyalurkan peruntukan pembangunan yang diperlukan rakyat di kawasan terlibat.

“Peruntukan akan disalurkan ke Pejabat Daerah atau jabatan berkaitan untuk diselaraskan seterusnya dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan pelitup muka kepada penduduk di Kampung Antilibon dan Keramuak, di sini hari ini.

Bung sampaikan sumbangan: Gambar oleh Jaffar Abdul Wahid

Bung, yang juga menteri kerja raya berkata, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat dan seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Katanya, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu, tumpuan utama kerajaan adalah untuk melaksanakan pembangunan di samping menitikberatkan aspek kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak mahu melihat rakyat susah, terus dibelenggu dengan masalah ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Ruangan iklan untuk semua

Terdahulu, 405 keluarga dari 12 di mukim Kampung Antilibon dan 250 keluarga di Kampung Keramuak menerima sumbangan bakul makanan dan pelitup muka.

Dalam pada itu, Bung berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan seperti menambah baik sistem jalan perhubungan, bekalan air, elektrik serta sistem komunikasi di dua kampung itu.

“Mengenai sistem perhubungan jalan raya ke kampung ini saya meminta jurutera daerah mengenal pasti jalan yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf.

“Kita akan laksanakan kerja-kerja itu secara berperingkat mengikut peruntukan yang mampu disediakan kerajaan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply