TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan rokok di Batu 21 Jalan Apas Balung, di sini, pada Rabu.
Bertindak atas maklumat risikan, Pasukan Batalion 14 PGA Tawau mengadakan pemantauan di Batu 13 Jalan Apas Tawau pada jam 7.20 pagi sebelum mengesan sebuah lori tangki minyak yang mencurigakan sedang dalam perjalanan ke daerah Semporna.
Pasukan PGA kemudian bertindak mengekori lori tersebut sejauh hampir 13 kilometer sebelum mengarahkan lori tersebut berhenti di tepi Jalan Batu 21 Jalan Apas Balung.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am Tawau, DSP Abdul Halim Ahmad dalam satu kenyataan media semalam berkata pemeriksaan awal ke atas pemandu lelaki tempatan berumur 39 tahun itu tidak menemui barang salah pada dirinya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas muatan lori tangki tersebut menemui sebanyak 193 kotak berwarna coklat memenuhi ruang tangki lori tersebut.
“Setelah diperiksa didapati kotak-kotak tersebut berisi 74,900 bungkus rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup yang tidak dibayar cukai yang cuba diedar untuk pasaran tempatan.
Pemandu lori tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama barang rampasan termasuk lori tangki minyak tersebut untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk 74,900 bungkus rokok pelbagai jenama, sebuah lori tangki minyak dan sebuah telefon bimbit dianggarkan berjumlah RM1,137,860.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Halim berkata pihaknya sentiasa bersedia mengesan apa jua taktik dan modus operandi pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha mengekang sebarang aktiviti jenayah dan penyeludupan yang berlaku di negeri ini.
SabahNewsToday