KOTA KINABALU: Kes positif COVID-19 di Sabah meneruskan trend penurunan apabila sebanyak 101 kes dicatatkan hari ini, terendah sejak Oktober tahun lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sejak 1 Oktober tahun lalu, jumlah kes direkodkan lebih 100 sehari.
“Kemuncak jangkitan pandemik ini ialah pada 6 November lalu, apabila sebanyak 1,199 kes telah dicatatkan.
“Kerajaan negeri amat mengharapkan agar bilangan kes di negeri ini terus mencatatkan penurunan selepas ini dan diharapkan rakyat Sabah dapat mematuhi arahan semasa dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya pada musim perayaan.
“Tidak mustahil kita akan mencapai sifar COVID-19 sekiranya rakyat dapat mengekalkan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian sebagaimana yang diamalkan sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Masidi berkata, susulan 101 kes hari ini, jumlah kumulatif kes di Sabah ialah 51,216 kes. Satu kematian dicatat di daerah Kalabakan.
Seramai 174 pesakit sembuh menjadikan keseluruhan 49,148 orang, 1,150 sedang menerima rawatan iaitu 456 di hospital, 691 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
Seramai 58 pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 22 memerlukan alat bantuan pernafasan.
SabahNewsToday