TAWAU: Pengunjung Taman Traulsen, atau lebih dikenali sebagai “Highway” dalam kalangan penduduk setempat, meluahkan rasa kurang selesa berikutan keadaan kawasan rekreasi itu yang didakwa semakin tercemar dengan sampah dan menimbulkan bau kurang menyenangkan.
Menerusi perkongsian yang tular di media sosial, orang ramai mendakwa kawasan yang menjadi lokasi riadah dan berjoging itu kini digunakan sebagai tempat berkumpul dan berteduh oleh sekumpulan individu sehingga menjejaskan keselesaan pengunjung.
Seorang pengadu berkata, keadaan tersebut menyebabkan suasana kawasan rekreasi yang sebelum ini bersih dan nyaman semakin berubah.
“Setiap pagi mahu berjoging terpaksa berdepan keadaan yang kurang selesa. Kami berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera,” katanya.
Orang ramai berharap pihak berkuasa dan agensi berkaitan dapat memperhebat pemantauan serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kawasan rekreasi itu kekal bersih, selamat dan selesa untuk dikunjungi.
